Kelantan United (KUFC) dilaporkan mengambil keputusan untuk merehatkan ketua jurulatih mereka, Tomas Trucha ekoran prestasi kurang memuaskan dalam saingan Liga Super musim ini.

Perkembangan ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam selepas kelibat jurulatih dari Republik Czech itu tidak kelihatan ketika perlawanan menentang Kuching City semalam.

Walaupun tiada sebarang pengumuman rasmi daripada kelab berkenaan hal itu, namun prestasi semasa Kelantan United yang kini menghuni tangga tercorot Liga Super tanpa sebarang kemenangan menguatkan lagi khabar angin mengenai ketiadaan khidmat Tomas Trucha.

Jika benar, Trucha adalah jurulatih kedua yang direhatkan musim ini selepas TRW Kelantan FC turut merehatkan Choi Moon-sik kelmarin.

Ini juga kali kedua Tomas Trucha direhatkan selepas gagal membimbing Penang mendapatkan 3 mata dalam saingan Liga Super musim lepas.

Prestasi buruk Penang dalam Liga Super 2022 membuatkan penyokong pasukan tidak berpuas hati dengan Trucha dan pelbagai tuduhan dilontarkan kepada jurulatih itu.

Sama seperti prestasi Kelantan United musim ini, kelab dari utara tanah air itu gagal meraih sebarang kemenangan dalam enam perlawanan liga yang dihadapi, hanya mencatat tiga mata dan menduduki tangga tercorot ketika dibawah kendalian Trucha.

Sebelum ke Liga Malaysia, Trucha mempunyai pengalaman luas ketika menggalas tugas di Eropah sebelum menimba pengalaman baharu dengan beberapa pasukan di Afrika.

Lebih menarik, beliau pernah menjadi penolong jurulatih skuad kebangsaan Republik Czech bawah 16 tahun (B-16) pada tahun 2006 dan banyak terlibat dalam program akar umbi di negara tersebut.